Ahad, 27 November 2011

kisah nabi sulaiman a.s


Alhamdulillah..... syukur ke hadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurnia-Nya dapat ustazah menyiapkan blog kisah anbiya' ini dengan baiknya. Baiklah, sekarang ustazah ada satu cerita untuk dikongsi bersama kamu iaitu kisah nabi sulaiman a.s. Ustazah harap kisah Nabi sulaiman ini dapat menjadi contoh dan suri teladan untuk kita menjalani kehidupan ini. Semoga kamu semua mendapat pengajaran daripada kisah yang dipaparkan.

Nabi Sulaiman a.s. adalah salah seorang anak Nabi Daud a.s. Allah S.W.T. mengurniakan beberapa kelebihan kepada Nabi Sulaiman a.s. Baginda boleh memerintah angin untuk membawanya ke mana sahaja. Selain daripada itu, Allah S.W.T. juga memudahkan Nabi Sulaiman a.s. mendapat bantuan dan khidmat daripada golongan jin yang kuat dan mahir.

Pada suatu hari, Nabi Sulaiman a.s. sedang duduk bersama bapanya Nabi Daud a.s. Tiba-tiba datang dua orang yang sedang bertengkar. Seorang dari mereka berkata, "Kambing orang ini masuk ke ladangku dan makan tanaman-tanamanku yang ada di ladang ini." Nabi Daud a.s. memutuskan hukum supaya tuan punya ladang itu mengambil kambing tersebut sebagai ganti tanamannya yang telah rosak. Ketika itu, Nabi Sulaiman a.s. meminta untuk memberi pendapat, "Tuan punya kambing hendaklah mengambil ladang itu untuk pulihkan tanaman yang rosak, sementara tuan punya ladang mengambil kambing untuk diambil susunya hinggalah ladangnya itu selesai dipulihkan semula seperti asal. Setelah itu tuan punya ladang dan kambing mengambil semula harta masing-masing."

 Nabi Dud a.s. bersetuju dan yakin dengan kebolehan Nabi Sulaiman a.s. untuk menjadi hakim bagi menggantikannya. Allah S.W.T. telah menjadikan Nabi Sulaiman a.s. pemerintah yang besar meliputi seluruh makhluk ketika itu. Allah S.W.T. menundukkan angin mengikut arahan Nabi Sulaiman a.s. dan pergi ke mana sahaja mengikut kemahuan Nabi Sulaiman a.s.

 Syaitan dan jin juga tunduk patuh mentaati Nabi Sulaiman a.s. dan melaksanakan perintahnya serta membuat apa sahaja yang disuruh. Allah S.W.T. juga mengajarnya bahasa burung dan segala binatang menjadikan baginda memahami apa yang haiwan itu kehendaki dan juga mengetahui haiwan bekerjasama antara satu sama lain. Nabi Sulaiman a.s. bersyukur kepada Allah S.W.T. dengan menambahkan lagi ibadahnya supaya Allah S.W.T. terus memberi nikmat dan kekuasaan kepadanya.

 Pada suatu hari, Nabi Sulaiman a.s. keluar bersama-sama dengan anggota tenteranya yang sangat ramai. Bersama-sama itu juga terdapat seangkatan burung-burung terbang di atas kepala untuk melindungi mereka dari matahari dengan sayap-sayapnya. Apabila mereka sampai ke lembah semut, lalu berkata raja semut, " Wahai sekalian semut, masuklah kamu ke dalam rumah-rumah kamu supaya kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan tentera-tenteranya, sedangakan mereka tidak menyedarinya." Nabi Sulaiman a.s. tersenyum dan tertawa apabila mendengar arahan daripada raja semut tersebut lalu berkata, " Tuhanku, tetapkanlah hatiku untuk mensyukuri nikmatmu yang telah Engkau kurniakan kepadaku dan kepada kedua ibu bapaku, dan supaya aku dapat kerjakan amalan soleh yang Engkau restui dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh."

 Kemudian Nabi Sulaiman berhenti memeriksa tentera-tenteranya. Baginda memandang ke tempat burung dan mendapati burung hud-hud tiada di tempatnya. Nabi Sulaiman a.s sangat marah kepadanya dan akan menghukumnya. Setelah burung hud-hud itu menghilangkan diri, ia kembali ke tempat Nabi Sulaiman a.s. Untuk mengelakkan diri daripada dimarahi baginda, dia terus bercerita, " Saya melihat terdapat sebuah kerajaan yang diperintah oleh seorang wanita bernama Balqis. Dia adalah permaisuri yang sangat kaya dan mempunyai segala-galanya serta mempunyai singgahsana yang sangat besar dan indah. Tetapi terdapat sesuatu yang pelik mengenai kerajaan ini, di mana rakyatnya sujud pada matahari dan tidak kepada Allah." 

Untuk memastikan kebenaran burung hud-hud itu, Nabi Sulaiman a.s. menulis sepucuk surat kepada Ratu Balqis. Burung hud-hud memperhatikan sahaja apa yang dibuat oleh Nabi Sulaiman a.s. Ia tidak tahu apa yang ditulis oleh baginda. Setelah selesai menulisnya, Nabi Sulaiman a.s. berkata kepada burung hud-hud, " pergilah engkau dengan surat ini ke negeri Saba' dan campakkanlah surat ini kepada Ratu Balqis. Kemudian perhatikan apa yang akan dibuatnya dan pembesar-pembesarnya selepas membaca surat ini. Setelah itu kembalilah ke sini dengan segera!" Setelah itu burung hud-hud tadi membawa surat Nabi Sulaiman a.s. dengan paruhnya dan terbang menuju ke negeri Saba'.

 Di negeri Saba' Ratu Balqis sedang tidur di atas katil di dalam biliknya. Burung hud-hud yang membawa utusan Nabi Sulaiman a.s. masuk ke bilik Ratu Balqis itu melalui tingkap istananya yang terbuka . Kemudian ia mencampakkan surat tersebut dan terjatuh ke atas dada Ratu Balqis . Ratu Balqis pun terjaga dari tidurnya dan mengambil surat tersebut . Dia berasa hairan bagaimana seseorang boleh memasuki bilik tidurnya, kerana pengawal sentiasa berdiri mengawal di hadapan pintu masuk ke biliknya .

 Ratu Balqis memegang surat itu sambil membelek-beleknya . Kemudian dia membukanya dan membaca satu persatu isi kandungan surat itu . Setelah itu belaiau pun memanggil para pembesar dan menteri kerajaannya dan memberi surat itu untuk mereka membacanya . Mereka memberi cadangan supaya berperang, akan tetapi cadangan mereka itu ditolak . Ratu Balqis bercadang untuk mengirimkan hadiah kepada Nabi Sulaiman a.s. Hadiah Ratu Balqis itu pula ditolak oleh Nabi Sulaiman a.s. dan untuk memberitahu tentang kehebatan Nabi Sulaiman a.s. serta menjemput Ratu Balqis datang ke negerinya .

 Nabi Sulaiman a.s. cuba melakukan sesuatu yang luar biasa supaya Ratu Balqis tahu bahawa baginda mempunyai kerajaan yang paling agung di bumi ini . Nabi Sulaiman a.s. menyuruh jin Afrit membawa singgahsana Ratu Balqis yang ditempatkan di bilik berkuncinya untuk menunjukkan kekuasaan Allah S.W.T. Nabi Sulaiman a.s. ingin menguji Ratu Balqis apabila dia sampai nanti . Lalu Nabi Sulaiman a.s. memerintahkan orang-orangnya supaya mengubah bentuk dan rupa singgahsana itu . Setelah tiba dan bertemu dengan Nabi Sulaiman a.s.

 Alangkah terkejutnya Ratu Balqis memandang kepada singgahsana itu dengan penuh rasa hairan sekali . Nabi Sulaiman a.s. berkata, "Sesungguhnya itulah singgahsana kamu, aku telah membawanya ke sini dari kerajaan kamu dalam satu detik ." Kemudian Ratu Balqis duduk di atas singgahsananya itu . Tahulah beliau bahwa Nabi Sulaiman a.s. itu adalah utusan Allah S.W.T., yang telah dilantik menjadi seorang Rasul di zaman itu, untuk menyeru manusia ke jalan yang benar .

 Pada ketika itu juga Ratu Balqis merasa kecil dan rendah kedudukannya di hadapan kemewahan yang dianugerahkan Allah S.W.T. kepada Nabi Sulaiman a.s. Beliau merenungi dosa dan kejahilanannya dahulu kerana telah menyembah matahari . Semenjak peristiwa itu Ratu Balqis beriman dengan Allah S.W.T. seperti yang disembah oleh Nabi Sulaiman a.s. dan rakyatnya . Dengan suara terisak-isak Ratu Balqis mengisytiharkan keislamannya seraya berkata, "Ya Tuhanku ! Sesungguhnya aku telah berbuat zalim tergadap diriku sendiri dan aku berserah diri bersama Selaiman kepada - Mu ya Allah, Tuhan semesta alam ." (Surah an-Naml :44)

1 ulasan: